Friday, December 21, 2018

Kelas Tulis dan Terbit Ebook Edisi Online



Saya mengenali nama Masayu Ahmad dari Facebook. Mengikuti beliau dengan rapat agak lama dan suatu hari saya ternampak iklan Kelas Tulis dan Terbit Ebook Edisi Online di facebook beliau.

Idea menulis memang ada sudah lama. Saya hanya perlukan sedikit suntikan semangat dan juga panduan untuk merealisasikannya. Melalui komen sahabat-sahabat yang pernah mengikui kelas beliau yang lain, saya pun menghubungi beliau untuk menadah ilmu dari seorang guru.

Kelas pertama saya adalah semasa saya menulis ebook pertama iaitu, Asas Bisnes Young Living. Jadual saya sangat padat kerana bulan itu saya sepatutnya ke luar negara sebanyak dua kali. Namun, dalam kepadatan masa tersebut, kelas tulis dan terbit ebook kelolaan Puan Masayu Ahmad berjaya diikuti.

Saya sukakan kelas ini kerana cara beliau mengendalikan kelas sangat santai tetapi tegas. Misi dan visi sangat jelas sepanjang kelas jadi setiap usaha nampak hasilnya. Tempoh masa untuk setiap tugasan diberi sedang elok sahaja dan mudah untuk diselesaikan mengikut kelajuan individu. Tidak rasa keciciran walaupun ada yang laju dan ada yang perlahan.

Puan Masayu banyak memberikan idea dan input penulisan. Selain itu, kami juga belajar asas suntingan, penghasilan cover sehinggalah cara untuk memasarkan ebook yang telah disiapkan.

Yuran yang dikenakan sangat berpatutan sesuai dengan ilmu dan masa yang dicurahkan kepada saya. Kelas ini sangat menarik dan kena dengan jiwa saya yang Saya menyertai kelas ini sekali lagi sebagai refresher dan juga untuk memperbaiki hasil kerja saya. 

Kelas ini sangat berbaloi dan sesuai disertai oleh semua orang tidak kira peringkat umur ataupun kemampuan menulis.

Friday, November 30, 2018

1-3: Pucuk Dicita Ulam Mendatang

Berita mak mahu pergi umrah adalah berita yang paling menggembirakan. Itu boleh jadi alasan aku bercuti tanpa gaji. Tengok samada aku boleh survive tanpa gaji bulanan.

Nasib baik aku memang tidak banyak komitmen kewangan. Bayaran bulanan cuma kereta Vios dan bayaran ansuran biasiswa Maybank sahaja.

Kenapa kena bayar biasiswa pula? Selepas graduasi, aku menunggu-nunggu tawaran kerja dari Maybank. Tetapi waktu itu ekonomi teruk. Bank pun sedang lepaskan orang. Mengambil pekerja baharu, seperti menunggu buah tak gugur.


Akhirnya aku dilamar suami, dan kami pun bernikah. Oleh kerana dia memang sudah bekerja di Melaka, tidaklah aku mahu berpisah jauh pula. Jadi keputusan yang baik ketika itu adalah tolak sahaja tawaran kerja dan bayar balik sahaja biasiswa yang diperolehi.

Bagus juga keputusan itu. Tidaklah aku terikat berkhidmat dengan Maybank. Bekerjalah aku di Melaka sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta.


Gajinya pun tidaklah banyak. Bak kata budak hipster, seciput sahaja. Dek kerana gaji seciput, aku tidaklah pula rajin berbuat hutang dan membeli itu ini.

Rupanya satu demi satu keputusan kubuat dahulu, banyak hikmahnya. Alhamdulillah.

Aku sampaikan niat untuk bercuti tanpa gaji kepada mantan ketua unitku. Kasihan beliau. Sudahlah menunggu pegawai mengisi kekosongan jawatan sekian lama, apabila sudah diisi, mahu bercuti pula.

Tapi aku nekad. Mahu tunggu cuti bersalin 5 tahun tidaklah ketahuan bila masanya. Anakku baru setahun lebih waktu itu. Tidaklah aku mahu mengandung lagi ketika itu.

Peluang ini kalau tidak diambil sekarang, lama nanti akan datang lagi. Borang pun ku isi.

1-2: Ikut Hati Mati

"Satu hari pun saya tidak boleh pergi kerja lagi," kata saya kepada suami.

Suami diam sahaja. Berfikir agaknya.

Dia tahu, aku ini degil orangnya. Bila diberitahu kepadanya tentang cadangan mahu berhenti kerja, sebenarnya keputusan telah pun dibuat. Pemberitahuan tersebut hanyalah makluman sahaja.

Tapi sungguh. Waktu itu, aku tidak ada semangat langsung untuk keluar bekerja. Apa gunanya bangun pagi-pagi, hantar anak tinggal suami, jika di pejabat asyik rasa tidak ada matlamat dan fungsi.

Kalaulah hari ini aku mati, mudah sahaja tempatku diganti orang. Bukan pengiktirafan yang aku damba, cuma aku mahu rasa diri ini berguna. Diri ini terasa seperti makan gaji buta. Apa akan ada barakahkah gaji aku itu?

Thursday, November 29, 2018

1-1: Hijrah

Perjalanan dari Melaka ke Jitra terasa sungguh panjang. Terasa pemanduan suamiku sungguh perlahan dan jalan tidak berpenghujung.

Aku tidak tahu apa yang menantiku di Jitra nanti.

Seronokkah? Mudahkah?

Baru 4 bulan lepas,suami mengajak kami ke berpindah ke Kedah. Waktu itu aku rasa entah iya entahkan tidak. Selama ini aku mengajak beliau pindah keluar Merlimau pun cukup payah.

Setiap hari kutanya betulkah mahu berpindah? Jawapannya selamba, ya sahaja.

Sehinggalah aku terbaca mesejnya kepada rakan-rakan memberitahu perancangannya ini, nyatalah dia serius, bukan cobaan, bukan main-main.

Maka terpaksalah aku pun merancang juga. Pening juga kepala. Memanglah aku ramai sahabat di utara, tapi dari sudut bisnes, aku belum ada pasukan disana.

Rupanya rezeki memang rahsia Allah. Kita perlu berusaha, Allah akan aturkan segalanya. Perancangan Allah akan datang pada waktu dan ketika yang tepat.

Perlahan-lahan aku terkenang semua yang aku lalui. Sesungguhnya sepanjang hidup ini kita dipersiapkan untuk masa hadapan. Baik dan buruk sesuatu peristiwa, pasti ada hikmahnya.

Ku angkat muka dan pandang jalan di hadapan.

Hijrah, bukan mudah, tapi pasti ada ibrahnya.

Ulasan Buku

Ulasan Buku

Biodata Penulis

Nama diberi Noor Azurah Anuar. Saya boleh dihubungi di noor.azurah@gmail.com.

Ibu kepada 5 cahaya mata, homeschool dan bekerja sepenuhnya dari rumah.

Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di sekitar Bandar Melaka. Kemudian menyambung pengajian ke sekolah berasrama penuh di Kluang, Johor. Melanjutkan pendidikan ke Matrikulasi Kulim dan seterusnya meneruskan pengajian peringkat ijazah di Universiti Sains Malaysia selama 3 tahun.

Pernah bekerja di pelbagai lokasi dan industri. Bermula dari jualan kuih sekitar rumah dan menjadi pembantu jualan di kedai Kraftangan di Bandar Hilir.

Sewaktu di sekolah saya seringkali menghabiskan cuti dengan bekerja di restoran makanan segera seperti Marrybrown dan Dunkin Donut. Selain itu pernah juga menjadi Pembantu Kajian (Research Assistant) dan Pembantu Tutor di USM.

Kemudiannya, saya menjadi kerani di sebuah syarikat yang bankrup. Menarik sungguh pengalaman itu. Selepas pengajian, saya bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta sehingga menerima tawaran bekerja dengan Kerajaan Malaysia di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (kini Institut Perguruan), Politeknik Merlimau dan yang terakhir sekali di Hospital Melaka.

Seterusnya saya bekerja sendiri bermula dengan Alimkids Playgroup, menjadi pengusaha Tadika ABS dan kini menguruskan perniagaan essential oil 6th Scents Wellness.

Sebagai seorang introvert, saya gemar membaca buku dan mengarang surat. Namun, saya juga mempunyai sisi extrovert dimana saya boleh bercakap dengan sesiapa sahaja dan tiada masalah berucap di khalayak ramai.

Saya sudah pernah menulis ebook Asas Bisnes Essential Oil bersama Young Living dan ini merupakan ebook kedua saya, inshaa Allah.



Amaran

Amaran



1. Ebook ini adalah Hak cipta terpelihara http://ibrahsukses.blogspot.com/

2. Anda dilarang sama sekali sama ada Mengubah, Mengedarkan atau Menjual Ebook ini kepada pihak lain.

3. Sebarang tindakan yang menyalahi etika penerbitan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

4. Oleh itu, hendaklah melaporkan kepada pihak admin sekiranya menerima ebook ini tanpa melalui http://penglihatankanak-kanak.blogspot.my/

5. Tindakan anda amatlah dihargai bagi membanteras kegiatan sebegini.

6. Jika anda memilikinya secara tidak sah, saya tidak menghalalkan dunia dan akhirat.


Yang benar : Noor Azurah Anuar
https://www.facebook.com/noor.azurah